Oleh: Ganukite

Saya seorang guru pelatih di Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa (IPBA) dan mengkhusus dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL). Persaudaraan Kristian IPBA pada 3 November yang lepas telah mengadakan retret di Tapak Kem SUFES, Tapah. Dalam retret tersebut saya telah menyedari banyak perkara dan saya berasa terpanggil untuk berkongsi di sini.

Ramai rakan kolej saya yang beragama Kristian berasa ragu-ragu apabila memilih untuk mengikuti kursus pendidikan. Beban kerja yang banyak dengan gaji yang tidak setimpal menyebabkan kerjaya sebagai guru tidaklah menarik jika dibandingkan dengan doktor, jurutera ataupun akauntan. Kebanyakan mereka yang tergolong dalam jemaah berbahasa
Inggeris biasanya mempunyai kebolehan berbahasa Inggeris yang baik. Secara tidak langsung, peluang mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang professional seperti perubatan, kejuruteraan ataupun perundangan adalah amat cerah. Namun, saya lega dan terharu kerana rakan-rakan saya yang mulanya ragu-ragu kini yakin bahawa kerjaya sebagai seorang guru adalah panggilan Tuhan untuk mereka dan mereka juga nampaknya sudah bersedia untuk melayan anak-anak-Nya di sekolah apabila menamatkan pengajian mereka nanti.

Selain mempunyai mukjizat untuk menyembuhkan penyakit, Yesus juga seorang guru. Ajarannya telah menjadi tunjang keimanan orang-orang nasrani di seluruh dunia. Sepertimana Yesus melalui ajarannya telah membawa perubahan kepada begitu ramai orang, sudah tentu guru boleh membawa impak dan perubahan kepada anak-anak muridnya.

Bayangkan anda seorang guru yang biasanya akan mengambil enam kelas yang setiap satunya mempunyai 40 pelajar setiap tahun untuk 30 tahun. Gandakan dan anda akan mempengaruhi hidup 7200 pelajar sepanjang hayat
anda sebagai guru. Jumlah ini tidak termasuk murid-murid yang akan anda ajar di luar kelas, contohnya dalam gerak kerja kokurikulum. Sekolah sebenarnya juga ialah lapangan misi yang besar. Satu kajian menunjukkan bahawa banyak pelajar memilih untuk mengikut Yesus dalam lingkungan usia 7 hingga 14 tahun. Semasa murid-murid sekolah mengharung cabaran hidup dan mungkin memerlukan Yesus untuk menyelamatkan mereka dari ambang kehampaan dan kesusahan, Siapakah yang akan menjadi saksi kepada Yesus dan membawa kasih-Nya ke sekolah? Yesus dalam Gospel Matheus berkata kepada murid-murid- Nya:

“Tuaian memang banyak, tetapi pekerja sedikit. Karena itu mintalah kepada tuan yang empunya tuaian, supaya Ia mengirimkan pekerja-pekerja untuk tuaian itu.” (Mat 9:37-38)

Kita boleh ‘menuai’ di kalangan ahli keluarga, saudara mara atau rakan-rakan kita. Tetapi siapakah antara kita yang akan ‘menuai’ di sekolah? Anak-anak muda di sekolah berhak untuk mendengar Khabar Baik sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Namun, siapakah yang sudi menerima cabaran untuk membawa Khabar Baik dari Yesus kita? Jika
anda sudah tidak mempunyai jalan untuk menjadi seorang guru lagi. Ingin saya rayu jasa baik anda semua untuk berdoa kepada Tuhan agar mengurniakan lebaih banyak muda-mudi Kristian yang akan sanggup menerima panggilan
Tuhan untuk menjadi seorang guru.

Satu isu yang juga membimbangkan saya ialah isu Sekolah-sekolah mubaligh (Mission Schools) dan juga Persatuan Persaudaraan Kristian (Christian Fellowship) di sekolah. Pada zaman pra-kemerdekaan, banyak mubaligh Kristian telah datang dan menubuhkan sekolah-sekolah di Malaysia. Walaupun sekolah-sekolah ini tidak lagi diketuai oleh mubaligh Kristian, identiti sekolah serta fungsi sekolah ini harus dan sepatutnya dikekalkan. Malangnya bilangan guru Kristian yang semakin berkurangan dari tahun ke tahun menyukarkan usaha untuk menempatkan guru atau pengetua yang dari kalangan saudara kita yang beriman kepada Yesus dalam sekolah-sekolah mubaligh. Jika tiada umat Kristian yang memilih profesion keguruan, siapakah yang akan memastikan sekolah-sekolah ini terus mengekalkan identiti Kristiannya?

Saya dan tentunya pembaca sekalian pernah mendengar kes-kes di mana pengetua sekolah mubaligh yang bukan beragama Kristian telah menurunkan salib-salib daripada bangunan sekolah dan juga menghalang atau menutup Persatuan Persaudaraan Kristian (PPK) di sekolah. Siapakah yang akan memperjuangkan PPK di sekolah dan memastikan PPK terus wujud di sekolah-sekolah untuk menjadi medan penyebaran ajaran Guru kita? Pertubuhan seperti Majlis Sekolah Kristian Malaysia atau Malayan Christian Schools Council (MCSC) masih kental dalam memperjuangkan penempatan guru dan pengetua beragama Kristian di sekolah-sekolah mubaligh. Namun begitu, jika tiada guru Kristian pelapis untuk menggantikan guru-guru yang bakal bersara, usaha mereka akan terbantut dek kekurangan calon sesuai untuk mengisi tempat-tempat tersebut.

Kepada sesiapa yang berminat menjadi guru, janganlah bimbang apabila memikirkan gaji dan beban kerja. Profesion keguruan merupakan panggilan Tuhan dan kita seharusnya bersyukur kerana berpeluang mengikut jejak langkah Tuhan Yesus sebagai Mahaguru Agung manusia dan membawa perubahan dan impak yang mendalam kepada manusia. Kita sebagai umat Kristian tentunya berharap dapat melayan Allah dan saya percaya kerjaya sebagai guru boleh menjadi cara terbaik untuk melayan-Nya. Saya sendiripun sudah tidak sabar untuk menamatkan pengajian saya supaya saya boleh mula mengajar dan membawa kasih dan Khabar Baik Tuhan kepada anak murid saya.

Sudikah anda menyertai saya?